KUALA LUMPUR – Atlet lempar cakera kebangsaan, Kamal Farhan A. Rahman gembira prestasinya masih berada pada landasan tepat dalam misi menaiki podium Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja bermula Mei tahun depan.
Biarpun tidak membuat persediaan khusus tetapi Kamal, 21, masih berupaya meraih pingat emas acara lempar cakera kategori podium Grand Final Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 hari ini.
Atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) itu membuat lemparan sejauh 46.16 meter (m) menewaskan Mirach Han dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) di tempat kedua dengan catatan 41.26m di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil itu.
Pingat gangsa pula dimenangi oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Zakwan Iddin Alias dengan catatan 37.89m.
Kamal yang sudah layak ke Sukan SEA 2023 dalam kategori A ketika beraksi di Sukan Asean Universiti 2022 di Thailand dengan balingan 50.92m itu, kini dalam proses memantapkan lagi prestasinya.
“Untuk pertandingan ini saya tidak buat persediaan sangat kerana saya dalam fasa conditioning iaitu masa untuk perbaiki masalah kecil yang tidak dapat lakukan di kejohanan besar.
“Sasaran saya sebenarnya adalah Sukan SEA kerana peluang untuk dapatkan perak dan gangsa itu cerah,” katanya yang dibimbing oleh jurulatih China, Gu Wei Yang.
Dalam masa sama, Kamal yakin mampu membuat lemparan sekitar 53m hingga 54m dengan persaingan perlu diberi tumpuan kepada atlet Thailand.
Justeru, atlet dari Selangor itu berharap dapat menyertai kejohanan dan latihan di luar negara sebagai persediaannya menghadapi Sukan Sea Kemboja nanti. – KOSMO! ONLINE