DOHA – Tonggak pertahanan Perancis, Theo Hernandez mengakui tidak ‘cuak’ meskipun berdepan tugas getir untuk mengekang kapten pasukan Argentina, Lionel Messi menjelang aksi final Piala Dunia 2022 malam esok.
Sebagai rekod, Hernandez dianggap sebagai salah seorang pertahanan terbaik Les Bleus pada kempen kali ini selain berjaya menjaringkan gol ketika menewaskan Maghribi 2-0 pada aksi separuh akhir kelmarin.
Bek kiri AC Milan itu percaya tiada sebarang ‘sentimen’ atau belas ihsan yang akan diberikan kepada wakil Amerika Selatan itu dalam usaha memastikan pasukan dapat mempertahankan kejuaraan dunia buat kali kedua berturut-turut.
“Saya sangat teruja dapat membantu pasukan mara ke perlawanan akhir selepas mengharungi aksi yang cukup memenatkan kerana Maghribi memiliki kualiti tersendiri.
“Kini, fokus utama pasukan adalah untuk aksi final dan kami akan menentang satu lagi pasukan hebat iaitu Argentina.
“Kita tahu apa yang Lionel Messi boleh lakukan tetapi saya percaya barisan kejurulatihan sudah mempunyai strategi dan kita tidak perlu gentar berdepannya nanti,” katanya.
Sementara itu, penyerang Les Bleus, Olivier Giroud mengakui pasukan berdepan tugas sukar untuk mengekang ancaman yang boleh diberikan Messi tanpa kelibat tonggak tengah, N’Golo Kante yang tidak sertai Piala Dunia kali ini ekoran kecederaan.
“Saya masih ingat ketika kami menang 4-3 ke atas Argentina pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2018, Kante telah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk mengekang Messi.
“Dia (Messi) adalah pemain yang luar biasa tetapi saya percaya kali ini kita akan bekerjasama untuk memastikan setiap gerakan yang bakal dilakukannya berjaya dirantai dengan rapi,” kata Giroud yang turut mewakili kelab AC Milan. – AGENSI