LANGKAWI – Seorang peserta maraton rebah dan tidak sedarkan diri ketika menghampiri garisan penamat pada Langkawi International Half Marathon 2022 di sini pagi tadi.
Mangsa, Nik Mohd. Faiz Nik Mohd. Azmi, 37, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini.
Allahyarham Nik Mohd. Faiz merupakan pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Unit Kecemasan HSM memaklumkan tentang kematian mangsa pada pukul 10.30 pagi tadi.
Kata beliau, mangsa dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri ketika menghampiri garisan penamat.
“Petugas perubatan dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memberikan bantuan awal iaitu bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa,” ujarnya.
Menurutnya, mangsa seterusnya dikejarkan ke HSM untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Mangsa didapati negatif Covid-19 dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE