fbpx

Penampilan Piala Dunia terakhir buat Messi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESSI mahu memberikan fokus sepenuhnya pada perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 antara Argentina dan Perancis di Stadium Lusail malam esok.

DOHA – Kapten Argentina, ­Lionel Messi mengesahkan perlawanan akhir Piala Dunia 2022 menentang Perancis di Stadium Lusail malam esok bakal menjadi penampilan terakhirnya bersama La Albiceleste pada saingan Piala Dunia.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) tersebut sudah melakar sejarah tersendiri apabila ber­aksi pada Piala Dunia kelimanya, mengatasi pencapaian legenda Diego Maradona dan bekas rakan sepasukan, Javier Mascherano yang bermain dalam empat Piala Dunia.

Aksi final bertemu Perancis malam esok pastinya menjadi misi paling penting buat pemenang anugerah Ballon d’Or tujuh kali itu bagi melengkapkan karier bola sepak dengan menjulang trofi teragung berkenaan.

Justeru, perlawanan itu bukan sahaja penting buat Messi, malah ia akan menjadi tumpuan seluruh peminat sukan di seluruh dunia yang mahu menyaksikan penampilan terakhir pemain berusia 35 tahun itu pada Piala Dunia.

“Saya sangat gembira kerana kami berjaya melangkah ke perlawanan akhir pada Piala Dunia kali ini. Selain itu, ia akan jadi detik manis untuk menjadikan perlawanan akhir sebagai pentas terakhir saya.

“Berhubung edisi seterusnya (Piala Dunia 2026), saya fikir saya sudah tidak mampu untuk teruskan. Ini adalah peluang terbaik untuk saya tamatkan penampilan pada Piala Dunia dengan penuh gemilang,” katanya.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu juga sudah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi penjaring terbanyak Argentina pada Piala Dunia dengan 11 gol, mengatasi rekod 10 gol pemain legenda, Gabriel Batistuta.

Justeru, Messi kini mahu memberikan fokus sepenuhnya pada perlawanan akhir malam esok, sekali gus menebus kekecewaan lapan tahun lalu ketika Argentina muncul naib juara selepas tewas kepada Jerman.

“Saya tahu ia (rekod) sesuatu yang sangat baik dan membanggakan, namun pada ketika ini, kejayaan sebagai satu pasukan lebih penting. Bagi saya, menjulang trofi bersama rakan-rakan sepasukan adalah detik paling indah.

“Hanya selangkah untuk kami merealisasikan impian seluruh rakyat Argentina yang sudah menanti selama 36 tahun. Semua pemain akan bermain bermati-matian bagi memastikan kami tidak pulang dengan tangan kosong sekali lagi,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI