fbpx

Pelabur harap dividen ASB lebih tinggi tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

MENJELANG hujung tahun, selain pengumuman pemberian bonus oleh majikan, antara perkara yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia adalah agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Pasti ramai yang mengharap­kan kadar agihan lebih tinggi berbanding dividen 4.25 sen dan bonus 0.75 sen seunit yang diumumkan tahun lalu, ketika ekonomi negara telah merekodkan pertumbuhan memberangsangkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar mencapai 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Harapan ini diperkuatkan lagi dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman oleh Bank Negara Malaysia sebanyak empat kali berturut-turut kepada 2.75 peratus, manakala kadar inflasi kekal tinggi pada 3.3 peratus untuk 10 bulan pertama 2022.

Pun begitu, bagi Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, pelabur ASB mungkin sekali akan menerima kadar dividen yang lebih rendah tahun ini, atau pada situasi terbaik, sama seperti tahun lalu.

Hal ini berdasarkan prestasi pasaran ekuiti di seluruh dunia yang merosot berbanding tahun lalu apabila majoriti pelaburan ASB adalah pada pasaran ekuiti.

“Sekiranya diimbas kembali situasi tahun lalu, prestasi bursa tempatan merosot sebanyak 7.8 peratus, manakala indeks MSCI South East Asia menurun 5.16 peratus dan CSI 300 di China turun 5.7 peratus. Namun, pada masa sama, indeks S&P 500 di Amerika Syarikat dan FTSE 100 di United Kingdom mencatatkan prestasi memberangsangkan.

“Sebab itu walaupun prestasi ekuiti di pasaran Asia merudum, ASB masih mampu memberi di­viden yang boleh dikatakan baik, pada lima peratus tahun lalu.

“Prestasi bursa di Amerika Syarikat dan United Kingdom turut menca­tatkan kemerosotan. Hal ini tidak memungkinan Amanah Saham Nasional Bhd. mengumumkan dividen ASB yang lebih tinggi berbanding 2021,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, berdasarkan trend biasa, jumlah pelabur ASB sentiasa merekodkan peningkatan dengan pembukaan hampir 200,000 akaun baharu tahun lalu, jadi untuk memberikan kadar dividen yang sama seperti 2021, jumlah agihan perlu lebih besar berbanding RM8.9 bilion yang dikeluarkan tahun lepas.

Beliau juga mengakui, ASNB mungkin berdepan tekanan untuk memberikan bonus yang le­bih tinggi kepada pelabur di­sebabkan situasi semasa.

“Masih ada ruang untuk ASNB mengekalkan kadar dividen lima peratus seperti tahun lalu, namun mungkin perlu memberikan bonus lebih tinggi.

“Contohnya, mereka boleh mengumumkan dividen empat peratus, ditambah bonus satu peratus mungkin bagi sekitar 30,000 unit pertama,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmed Razman tidak melihat kemungkinan kemerosotan prestasi ASB bakal memberi impak ketara kepada trend pelabur untuk menyimpan dalam dana berkenaan.

“Jika ASB masih mampu memberikan dividen sekitar lima pe­ratus tahun ini, ia masih dianggap tinggi berbanding pulangan simpanan tetap sekarang pada sekitar tiga peratus.

“Pulangan simpanan di Tabung Haji juga saya lihat sukar untuk naik lebih daripada kadar 3.1 peratus yang diumumkan untuk tahun lalu kerana majoriti pelaburannya adalah dalam instrumen tunai, mungkin Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mampu terus memberikan pulangan lebih tinggi berbanding ASB tetapi caruman KWSP lebih bersifat ‘paksaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI