DOHA – Pengendali Maghribi, Walid Regragui menyeru agar anak-anak buahnya tidak meratapi kesedihan terlalu lama sebaliknya fokus memberi tumpuan pada aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia Qatar 2022 menentang Croatia di Stadium Antarabangsa Khalifa malam ini.
Sebagai rekod, Maghribi telah mencipta sensasi tersendiri sepanjang berada di bumi Qatar tetapi ‘kisah fantasi’ mereka direntap oleh Perancis selepas tewas 0-2 pada aksi separuh akhir kelmarin.
Namun, skuad The Atlas Lions masih boleh berbangga dengan rekod yang telah dicipta apabila menjadi negara benua Afrika dan bangsa Arab pertama yang layak ke pusingan separuh akhir.
Kini, Regragui menyeru agar pemain memberikan tumpuan penuh untuk melunaskan satu lagi perlawanan dalam usaha menamatkan saingan Piala Dunia ini di kedudukan terbaik.
“Secara peribadi, bukan mudah untuk mengharungi perlawanan selepas diratapi kekecewaan pada saingan separuh akhir yang lepas tetapi tiada alasan yang boleh diberikan selain mencuba sedaya mungkin.
“Saya pasti pemain mahu terus mencipta sejarah dengan menamatkan perjuangan pada Piala Dunia dengan noktah kemenangan sebelum pulang ke tanah air, sekali gus membuatkan rakyat kami berbangga,” katanya.
Sementara itu, Regragui memberi bayangan untuk merombak kesebelasan utama selepas beberapa tonggak penting seperti Nayef Aguerd, Roman Saiss dan Noussair Mazraoui masih belum cergas sepenuhnya.
“Ada lagi beberapa pemain yang bersama kami tetapi tidak mendapat minit permainan yang diharapkan dan sudah pasti saya akan berikan mereka peluang ketika bertemu Croatia nanti.
“Saya harap siapa sahaja yang diturunkan dapat beri 100 peratus dan menunjukkan kualiti yang mereka ada meskipun kita sedar kekuatan pasukan lawan,” katanya.
Maghribi yang menduduki ranking ke-22 dunia sebelum ini pernah bertemu Croatia pada peringkat kumpulan pada 23 November lepas dengan saingan berakhir seri tanpa jaringan. – AGENSI