fbpx

Lebih ramai artis masuk Muafakat Nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEBELUM, semasa dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), waima sejak bertahun-tahun dahulu, kebersamaan golongan selebriti bersama-sama dengan ahli politik menggerakkan usaha ke arah kesejahteraan rakyat sering kita dengar.

Paling ketara ketika ada sebarang acara yang perlu menghimpun seramai mungkin ahli masyarakat sebagai indikasi kejayaan, harus ada artis yang turun padang.

Kalau tidak konsert (itu yang paling sinonim), sesi bertemu untuk bersalaman atau membuka gerai jualan sudah cukup sebagai ubat pelaris.

Jadi, apabila sebuah pertubuhan yang sebelum ini dikatakan telah berkubur akibat ‘sengketa dalaman’ keanggotaan melibatkan pemimpin dan parti-parti politik seperti Pas, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Sedar Rakyat Sarawak iaitu Muafakat Nasional (MN) diaktifkan semula sebagai badan bukan kerajaan (NGO) melantik golongan artis sebagai Ahli Dewan Tertinggi, itu bukan sesuatu yang mengejutkan.

Persoalannya cuma, bagaimana NGO yang dikepalai tokoh politik terkenal, Tan Sri Annuar Musa itu mahu menghapus skeptikal kepolitikan yang pernah menjadi asas penubuhan sebelum ini.

Setakat ini, penyanyi bertaraf biduan negara, Datuk Jamal Abdillah sudah dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN. Selain penyanyi Kau Kekasih Awal dan Akhir itu, aktres hebat Ummi Nazeera yang dipuji meruntun emosi khalayak dalam drama bersiri Rindu Kasih juga menjadi sebahagian daripada orang penting dalam MN.

Tidak hanya Jamal dan Ummi, pelakon yang baru-baru ini hilang wang pertaruhan dalam perebutan kerusi Parlimen Sabak Bernam atas tiket Pejuang, Datuk Eizlan Yusof juga dilantik memeriahkan ‘segmen’ glamor MN.

Dari segi agenda mengaktifkan semula MN, pelantikan dan pengumuman nama-nama popular seperti Jamal, Ummi dan Eizlan sebagai Ahli Dewan MT MN itu sudah berjaya.

Khalayak yang selama ini sudah lupa ingatan tentang MN kembali ambil peduli, termasuklah penulis sendiri.

Memetik kata-kata Jamal yang sedar seseorang artis kena berhati-hati dan tidak boleh terlalu berpolitik, apa yang mahu dilakukannya adalah demi muafakat kemakmuran negara tanpa batasan bangsa.

Kalau itulah yang diperjuangkan bersama dengan asas MN untuk menanam nilai serta kefahaman kenegaraan berasaskan tiga prinsip, iaitu kasih sayang, perpaduan dan saling menghormati, rasanya penyertaan Jamal, Ummi dan Eizlan belum cukup kuat.

Kalau benarlah MN tidak akan berlandaskan perjuangan politik, artis-artis yang lantang dan apa saja yang disuarakan mereka mudah mendapat reaksi masyarakat seperti seperti Datuk Hattan, Datuk Awie, Datuk Aznil Nawawi perlu diajak sertai MN.

Agenda MN yang mahu melancarkan Sekolah Memahami Pemahaman Negara meliputi semua elemen nasionalisme tinggi berteraskan prinsip Rukun Negara itu menarik juga.

Namun, janganlah hanya pukul tin gendang berdegar-degar, hakikatnya ramai orang kita khususna anak muda tak faham sangat pun apa itu Rukun Negara. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI