PETALING JAYA – “Ingat adik itu main kejar-kejar, rupa-rupanya kena kejar anjing”
Demikian kisah yang dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial mengenai tindakannya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki dikejar anjing baru-baru ini.
Pemilik akaun Facebook Ahmad Zufar tersebut turut memuat naik rakaman video papan pemuka kejadian yang berdurasi seminit dan 39 saat di laman Facebook.
Bedasarkan rakaman video berkenaan, seorang kanak-kanak lelaki dilihat melarikan diri daripada dikejar dua ekor anjing sebelum memasuki keretanya.
“Sewaktu perjalanan pulang, saya menggunakan laluan Bukit Jelutong, Shah Alam yang berdekatan dengan Persiaran Anjung Seri bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di laluan memasuki Guthrie, namun penunjuk jalan (waze) tersalah dan saya pun berhenti di tepi jalan.
“Tiba-tiba seorang budak lelaki berpusing mengelilingi kereta dan semakin lama semakin mendekat. Rupa-rupanya dia sedang dikejar anjing liar.
“Beradab sungguh dan banyak kali berterima kasih serta meminta maaf kepada saya. Saya hanya mampu membantu mana yang mampu,” jelasnya yang pada awal beranggapan anjing itu milik kanak-kanak tersebut.
Menurut Ahmad Zufar, rumah kanak-kanak tersebut berhampiran kawasan kejadian, namun terpaksa memasuki keretanya kerana dikejar anjing dan minta bantuan dihantar pulang.
Perkongsian tersebut setakat ini telah meraih sebanyak 1,800 maklum balas dan 76 perkongsian serta mengundang pelbagai reaksi netizen di Facebook.
“Tahniah. Abang telah mempermudahkan urusan orang lain. Insya-Allah suatu masa nanti, orang lain pula akan permudahkan urusan abang,” komen Faqir.
“Saya juga pernah dikejar anjing sewaktu hendak pergi ke keas tuisyen dulu. Pada waktu itu, saya sedang menaiki basikal dan trauma serta fobia itu kekal hingga ke hari ini.
“Sehinggakan suami memarahi saya yang terjerit-jerit setiap kali melihat anjing,” tulis Nurul Farha.
Dalam pada itu, seorang pengguna, Hani Hanim yang pernah dikeremunienam ekor anjing sewaktu di Sarawak sempat meninggalkan pesanannya menerusi ruangan komen.
“Sebaiknya jangan berlari sewaktu dikejar anjing. Sebaliknya, tahan pernafasan dan kakukan tubuh. Apabila anjing itu berhenti mengejar, barulah menarik nafas secara perlahan-lahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE