ALOR SETAR – Seorang pelatih wanita Kolej Tentera Udara (KTU) di sini beranggapan wanita sepertinya juga mampu menceburi dunia penerbangan yang didominasi oleh kaum lelaki ketika ini selagi berusaha gigih.
Leftenan Iliyana Ibrahim, 26, merupakan satu-satunya wanita memperoleh sayap penerbangan KTU pada hari ini.
Beliau melahirkan kesyukuran kerana komitmen yang tidak berbelah bahagi itu membuahkan hasil setelah bergelar juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Sebenarnya apabila berada di dalam pesawat pejuang di udara, saya tidak merasai saya seorang perempuan tetapi adalah juruterbang TUDM.
“Memang ada cabaran terutama daripada segi fizikal berbanding lelaki tetapi selagi ingin berjaya kita harus berusaha gigih,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Penerbangan Helikopter 63/21 di Kolej Tentera Udara (KTU) di sini hari ini.
Menurut graduan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu, dia meminati bidang ketenteraan sejak kecil dan menjadikan Angkasawan Pertama Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor sebagai idola.
“Atas alasan itu, saya memilih kerjaya juruterbang TUDM berbanding juruterbang komersial kerana ingin berbakti kepada negara,” katanya yang berjaya menamatkan kursus itu dengan 180 jam penerbangan.
Terdahulu, Sayap Penerbangan itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan kepada 30 pelatih iaitu 23 pelatih juruterbang pesawat sayap kaku dari Institut Penerbangan 1 dan tujuh pelatih juruterbang helikopter dari Institut Penerbangan 2.
Mereka terdiri daripada 26 pelatih dari TUDM, tiga dari Tentera Darat Malaysia dan seorang dari Tentera Laut Diraja Malaysia. – KOSMO! ONLINE.