fbpx

Hindari kawasan cerun elak tertimbus dalam tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai diminta untuk menghindari kawasan cerun berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Orang ramai termasuk penggemar aktiviti perkhemahan disarankan supaya menghindari kawasan cerun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Pakar geologi kejuruteraan dan mekanik tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd. Nazer berkata, ketika ini semua kawasan cerun berisiko untuk me­ngalami insiden tanah runtuh.

“Dalam keadaan hujan berte­rusan walaupun berhenti dan kemudian hujan balik, kandungan air dalam kawasan cerun akan meningkat.

“Sebenarnya semua tempat (cerun) sedang mengalami risiko, tetapi yang mana akan gagal itu tanda tanya yang sukar untuk kita jawab.

“Namun, benar dalam kea­daan iklim yang tidak menentu kan­dungan air akan tinggi di semua kawasan cerun dan kita perlu berhati-hati. Saya rasa sebaiknya dengan iklim tidak menentu kita hindari kawasan bercerun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tragedi ta­nah runtuh di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali yang mengorbankan banyak nyawa dan menjejaskan puluhan yang lain.

Terdahulu, beliau menerangkan, walaupun saksi kejadian mendakwa tidak berlaku hujan lebat semasa insiden itu berlaku, namun data cuaca beberapa hari atau minggu di kawasan tersebut sebelum kejadian perlu diteliti.

Ujar beliau, insiden tanah runtuh yang berlaku tersebut mirip kepada kejadian ‘tanah runtuh dengan satah gelinciran yang dalam’ disebabkan berlaku pe­ngumpulan air yang banyak dalam bahagian cerun.

“Tanah berupaya menampung air, maka walaupun tidak berlaku hujan lebat semasa kejadian, tetapi pada hari sebelum kita perlu tengok data cuaca berkemungkinan hujan lebat beberapa hari atau minggu sebelumnya.

“Menyebabkan tanah di bahagian dalam telah mengalami penurunan tekanan efektif yang berterusan dan jadi semakin lemah. Satah bahagian dalam lemah itu yang menyebabkan pergerakan besar-besaran se­perti itu.

“Apabila air berkumpul, tanah tepu air, zon tepu air itu lemah. Tekanan air yang tinggi menyebabkan tekanan efektif (ta­nah) berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaafar berkata, kejadian yang berlaku di Batang Kali tersebut boleh dianggap sebagai ‘hakisan mendalam tertangguh’ atau lebih tepat ‘kegagalan cerun’.

Ujar beliau, satah gelincir mungkin berada pada tiga hingga lima meter di bawah permukaan cerun yang kebiasaannya merupakan sempadan antara bahan yang diisi dengan tanah asal.

“Saya percaya air yang meresap melalui sempadan ini dari tempat yang lebih tinggi (atas bukit) menyeberangi jalan. Hujan lebat mungkin berlaku beberapa hari sebelum itu meresap ke dalam tanah dan mengalir ke bawah tanah ke arah badan cerun yang gagal.

“Itulah sebabnya kegagalan hanya berlaku selepas beberapa hari hujan. Saya masih belum berada di tapak dan mengkaji data hujan, jadi ini adalah andaian awal,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, amaran berhubung Monsun Timur Laut dari Disember 2022 hingga Mac 2023 telah dikeluarkan, justeru adalah elok aktiviti di kawasan berisiko dengan bencana seperti lereng bukit, eko rimba, sungai dan kawasan pantai dikurangkan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI