fbpx

Hampir 1,000 peserta meriahkan acara berbasikal di Bukit Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelepasan peserta Shimano Bukit Merah Laketown Resort Jamboree di Bukit Merah, Taiping dilakukan pada pukul 7.30 pagi tadi.

TAIPING – Acara kayuhan Shimano Bukit Merah Laketown Resort Jamboree di Bukit Merah di sini meriah apabila ia disertai hampir 1,000 orang peserta dari seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MK Land Holdings Berhad (MK Land), Datuk Faris Yahaya berkata, acara tersebut dianjurkan oleh Bukit Merah Resort dengan kerjasama Cylomotion dan penaja utama yang juga jenama berbasikal, Shimano.

“Jamboree berbasikal ini meliputi kayuhan sejauh 58 kilometer di mana 40 peratus meliputi laluan jalan raya dan selebihnya iaitu sebanyak 60 peratus merupakan ‘off-road’.

“Ia melibatkan laluan Fast Train yang menguji ketahanan fizikal dan mental peserta,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas sebelum pelepasan peserta di sini hari ini.

Pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian, Helmi Yusof pada pukul 7.30 pagi, dengan beliau disertai Ahli Dewan Undangan Negeri Semanggol, Razman Zakaria.

Faris berkata, sebanyak sembilan kategori dipertandingkan termasuklah Men Open, Women Open, Men Junior, Heavyweight, Gravel/CX Open dan Fatbike Open.

“Pihak MK Land dan Bukit Merah Laketown Resort amat berbesar hati dengan sambutan yang telah diberikan oleh kesemua penaja dan peserta.

“Dengan sambutan yang begitu baik ini, pelbagai program dan acara menarik akan terus diadakan oleh MK Land di Bukit Merah bagi menarik lebih ramai lagi pengunjung ke sini,” katanya.

Faris berkata, sempena musim cuti sekolah itu juga, terdapat pelbagai pakej menarik telah disediakan untuk para pengunjung bagi menikmati kemudahan dan aktiviti-aktiviti di Bukit Merah Laketown Resort.

“Pelbagai usaha juga sedang dijalankan pada masa hadapan oleh MK Land bagi mempelbagaikan daya tarikan Bukit Merah Laketown Resort sebagai destinasi pelancongan yang unggul dan terus berdaya saing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI