KUALA PERLIS – Empat lelaki tempatan ditahan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis selepas dikesan menangguk benih kerang secara haram di perairan Kuala Sanglang, dekat sini pada petang semalam.
Tangkapan menerusi Op Aman kira-kira pukul 6.30 petang itu membabitkan tiga bot fiber di lokasi berasingan.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, tiga bot dengan salah sebuah tidak mempunyai nombor pendaftaran ditahan pada kedudukan antara 0.5 hingga 2.4 batu nautika dari barat laut Kuala Sanglang.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot tersebut berpangkalan di Kedah dan melakukan aktiviti menangguk benih kerang secara haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, empat yang ditahan merupakan tekong dan awak-awak berusia antara 30 hingga 68 tahun.
“Kita turut merampas hasil tangkapan benih kerang yang dianggarkan bernilai RM 80,820,” ujarnya.
Menurutnya, kes akan disiasat di bawah
Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana tiada nombor pendaftaran dan Seksyen 8 (b) Peraturan 8 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu tidak memiliki lesen mengambil benih kerang atau kerang matang. – KOSMO! ONLINE