SEBERANG PERAI – “Farah okay, cuma itulah terkejut sebab papa dah tak ada. Doakan Farah kuat sebab Farah paling rapat dengan papa.”
Itu kata Farah Nadirah Salahuddin, 28, anak kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Rose yang menghembus nafas terakhir pada usia 53 tahun hari ini.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, Salahuddin dipercayai meninggal dunia pada sebelah pagi berdasarkan kepada status WhatsApp terakhirnya iaitu sekitar waktu subuh.
” Insya-Allah… arwah (Salahuddin) akan dimandikan, dikafankan dan disolatkan esok di Masjid Jami’ul Ehsan, Kuala Lumpur. Pukul berapa akan dimaklumkan kemudian.
“Kemudian jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan Islam di USJ22 Subang Jaya (Selangor) selepas selesai semua. Doakan arwah papa ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Kosmo!.
Difahamkan, Salahuddin meninggal dunia akibat masalah kesihatan selepas menderita akibat penyakit jantung sejak 12 tahun lalu.
Kisah bekas pemain Pulau Pinang dan Pahang yang terkenal dengan nama jolokan ‘orang besi’ itu pernah disiarkan Kosmo! kira-kira dua tahun lalu selepas beliau mendakwa hilang punca pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).
Dalam pada itu, pengendali sementara skuad Harimau Kumbang, Manzoor Azwira Abdul Wahid, 46, yang juga merupakan anak saudara Allahyarham memberitahu, Salahuddin rapat dengan ibunya yang juga kakak sulung beliau.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah bapa saudara saya itu adalah beberapa bulan lepas.
“Arwah kini tinggal di Kuala Lumpur bersama rakannya selepas tidak lagi tinggal bersama ibu saya di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi di sini.
Salahuddin yang juga anak kelahiran Bukit Mertajam memulakan karier bola sepaknya bersama Pulau Pinang pada 1991.
Ketika era kegemilangannya, beliau pernah menganggotai Skuad Projek Olimpik Barcelona 1992 atau Barcelona Babes bersama beberapa legenda pemain bola sepak termasuk Azman Adnan, Datuk Ong Kim Swee dan ramai lagi. – KOSMO! ONLINE