fbpx

Warga emas lesap RM100,000 ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PADAWAN – Seorang lelaki warga emas berputih mata apabila wangnya sebanyak RM100,000 lesap akibat ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abg Ahmad berkata , kejadian berlaku apabila mangsa yang berusia lewat 60-an dihubungi suspek yang menyamar sebagai Sarjan Suraya daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 14 Disember lalu.

Katanya, suspek telah memberitahu mangsa mempunyai surat saman daripada mahkamah yang mesti diselesaikan.

Jelasnya, mangsa kemudian disambungkan dengan Inspektor Faizal Ahmad untuk membuat semakan lanjut berkaitan nama mangsa yang digunakan oleh penama Tan Boon Huat untuk mendaftar sebuah syarikat di Pulau Pinang iaitu Top Plus Enterprise yang membekalkan alat tulis dan peralatan pejabat.

Tambahnya, mangsa dimaklumkan bahawa syarikat terbabit mempunyai hutang tertunggak selama 15 bulan sebanyak RM36,800.82 dan surat mahkamah telah dikeluarkan atas nama mangsa dan mangsa perlu memberi kerjasama dalam tindakan selanjutnya.

“Mangsa diminta untuk memberikan maklumat peribadi dan seterusnya suspek mengarahkan mangsa berhubung dengan pegawai atasan mereka iaitu ACP Zulkipli untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan kes mangsa.

“ACP Zulkipli mengatakan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan kes pengedaran dadah bersama Tan Boon Huat dan boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat.

“Untuk menyelesaikan perkara itu, mangsa perlu menyerahkan maklumat perbankan Bank Islam dan CIMB yang didaftarkan atas nama syarikat mangsa dan juga nama mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata, mangsa juga diberitahu semasa siasatan sedang dijalankan, mangsa telah diberikan jaminan bahawa waran tangkap akan ditangguhkan sementara sehingga siasatan ke atas akaun bank mangsa selesai.

Katanya, mangsa turut dipesan supaya tidak melakukan sebarang transaksi berkaitan akaun berkenaan.

Beliau berkata nenyedari sesuatu perkara yang tidak betul, mangsa kemudian tampil ke balai polis semalam untuk membuat semakan dan pihak polis memberitahunya bahawa dia telah ditipu oleh ‘scammer’.

“Akibat daripada tindakan mendedahkan maklumat perbankan, mangsa telah mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM100,000,” katanya.

Justeru, Abang Zainal mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan muslihat atau tipu helah pihak-pihak tertentu yang membuat panggilan dan menyamar sebagai polis, mahkamah dan sebagainya yang mengatakan mangsa mempunyai tunggakan hutang, saman daripada mahkamah, kes pengedaran dadah, kes pengubahan wang haram dan sebagainya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI