PETALING JAYA – Percintaan pasangan peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Tom dan Fuad Rahman yang kembali berputik dikecam ramai kerana dakwaan menjadi orang ketiga.
Orang ketiga dimaksudkan ialah Tom apabila dia dituduh sebagai ‘penyondol’ dalam rumah tangga Fuad yang sebelum ini merupakan suami orang.
Pemilik nama sebenar Raja Farah Afzal Raja Ikram itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan hubungan cintanya bersama Fuad baru sahaja kembali berputik baru-baru ini.
“Tak tahulah nak cakap apa. Saya kenal dia sebelum sertai GV9. Baru sekarang ini kami kembali bercinta.
“Hubungan dia dan bekas isteri dah berakhir, cuma ada beberapa urusan belum selesai.
“Bekas isterinya pun tahu hubungan kami dan saya bukan penyondol,” kata pelantun lagu Redha itu.
Dakwaan tersebut mula menjadi buah mulut ramai apabila seorang individu mendakwa Fuad masih berstatus suami orang ketika berkasih dengan Tom.
Biarpun begitu, Tom mengakui dia sering menjadi ‘telinga’ buat Fuad ketika rumah tangga kekasihnya itu berada dalam keadaan sukar.
“Sejak jumpa di GV9, hubungan dia dengan isteri memang dah bermasalah. Saya kasihan melihat dia melalui waktu sukar.
“Saya terima untuk kembali bercinta kerana ikhlas mahu menjaga dia. Dia perlukan seorang teman,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai tuduhan tersebut, Tom tidak akan mengendahkan kata-kata orang yang akan melontarkan perkara negatif kepadanya.
“Orang boleh cakap apa sahaja kerana mereka tak tahu apa. Kami yang melalui hubungan ini.
“Biarlah apa sahaja orang nak cakap. Saya tak ambil peduli,” ujarnya.
Terdahulu, pasangan itu mendedahkan perasaan cinta kembali timbul dalam hati masing-masing selepas pernah bercinta selama beberapa tahun sejak 2005 sebelum berpisah kerana Fuad berdepan hukuman penjara. – KOSMO! ONLINE