SUNGAI BULOH – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan bahawa trip perkhemahan melibatkan 94 mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali Hulu Selangor adalah bukan di bawah anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).
Fadhlina berkata, ia sebaliknya adalah trip persendirian dihadiri oleh keluarga yang mana antaranya merupakan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Mun Choong, Kuala Lumpur.
“Rombongan perkhemahan tersebut bukan anjuran mana-mana pihak dan kementerian, mungkin rombongan keluarga atau kawan-kawan. Kami masih mencari fakta tepat berkaitan perkara tersebut.
“Kita akan sahkan kemudian sebab sekarang ini proses pengecaman dan mengenal pasti mangsa masih lagi berlangsung. Jadi, KPM akan mengemas kini sebaik sahaja dapat pengesahan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak dinasihatkan untuk memberikan kerjasama dan ruang kepada waris mangsa termasuk pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bedah siasat ini akan mengambil masa dan mohon beri sedikit ruang kepada pihak berkuasa. KPM bersedia memberi sokongan dan dorongan kepada keluarga seperti sokongan psikososial dan juga kewangan.
“Saya juga ingin ucapkan salam takziah kepada ahli keluarga atas bencana yang terjadi terhadap mereka hari ini. Kita doakan keluarga mangsa supaya bersabar,” katanya. – KOSMO! ONLINE