HULU SELANGOR- Tidak ada akta atau undang-undang khusus bagi tapak perkhemahan yang diadakan di tanah kawasan persendirian.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, berkata Kebenaran Merancang (KM) hanya dikeluarkan untuk mereka yang ingin membina bangunan.
“Dalam hal ini, pemilik tanah persendirian tersebut hanya memiliki kebenaran untuk melakukan pertanian dan bukannya menjalankan perniagaan perkhemahan.
“Sepatutnya pemilik tanah tersebut memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor jika ingin berbuat sedemikian.
“Cuma dalam akta kita sekarang, tidak ada undang-undang khusus untuk perkhemahan, jadi orang awam boleh pacak khemah di mana-mana sahaja kecuali hutan simpan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Tambahnya, pihaknya juga akan mengadakan pemantauan di bahagian cerun, gunung-ganang dan di tepi sungai supaya kejadian yang berisiko tinggi dapat dielakkan. – KOSMO! ONLINE