JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor awal pagi hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda amat sedih apabila mendapat tahu tentang tragedi berkenaan.
“Saya amat sedih apabila membaca berita ini dan berharap seluruh ahli keluarga mangsa-mangsa banyakkan bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), di sini hari ini.
Terdahulu, sebanyak 21 korban tragedi telah disahkan dalam kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor sehingga pukul 7.30 malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata, seramai 12 orang mangsa masih belum ditemui daripada keseluruhan mangsa yang berjumlah seramai 94 orang. – KOSMO! ONLINE