PETALING JAYA – Menteri Besar Pahang mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan dari Pahang bagi membantu operasi mencari serta menyelamatkan (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan, Hulu Selangor awal pagi tadi.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menerima perkhabaran mengejutkan itu bertindak mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan untuk segera ke lokasi kejadian.
“Seramai 100 orang yang sedang berkhemah dikhuatiri tertimbus dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali pagi tadi,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati untuk mengadakan sebarang aktiviti perkhemahan sama ada di kawasan tanah tinggi ataupun di kawasan berhampiran sungai terutamanya pada musim tengkujuh bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Saya berdoa semoga kita semua sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang bentuk musibah dan malapetaka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE