PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga dan waris mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pagi tadi.
Beliau berharap agar semua mereka yang terlibat tabah dengan ujian tersebut dan bersabar menghadapi saat yang mendukacitakan itu.
“Saya juga mendoakan kesembuhan segera kepada semua mangsa yang terselamat dan sedang menjalani rawatan di hospital.
“Marilah sama-sama kita berdoa agar semua mangsa yang masih hilang dapat ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat.
“Khususnya pasukan keselamatan, agensi penyelamat dan pasukan perubatan yang bekerja keras sehingga ke saat ini bagi mencari dan menyelamatkan mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE