PETALING JAYA – Laluan Jalan Batang Kali – Genting, Hulu Selangor kini ditutup atas arahan pihak polis berikutan insiden tanah runtuh melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter (m) dengan ketinggian 70 m.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan itu, orang awam dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif.
“Jalan B66 kini telah ditutup atas arahan pihak Ibu Pejabat Polis Hulu Selangor untuk keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang awam boleh menggunakan laluan seperti lakaran infografik di lampiran sebagai laluan alternatif buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, hasil tinjauan dan pemeriksaan visual mendapati kawasan runtuhan tersebut melibatkan sebahagian dari jalan negeri B66 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor iaitu sepanjang 5 m.
“Berdasarkan pemeriksaan awal mendapati tiada rekahan terbuka pada permukaan ‘pavement’ (permukaan) jalan,” ujarnya.
Tambahnya, JKR dan pelbagai agensi kini menumpukan kepada misi mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa di tempat kejadian.
“Pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia telah berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan agihan peruntukan yang diterima,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE