SUNGAI BULOH – Seorang bapa meluahkan perasaan bimbang dan sedih apabila masih menantikan penemuan anak lelakinya yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, hari ini.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Choo, 60, berkata, kejadian tersebut melibatkan dua anaknya iaitu seorang lelaki dan perempuan masing-masing berusia 32 dan 31 tahun.
Katanya, dia telah membuat pencarian kedua-dua anaknya itu sebaik sahaja menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8 pagi tadi.
Menurutnya, setakat ini, anak perempuan kini berada di Hospital Selayang untuk rawatan lanjut, manakala anak lelakinya masih belum ditemui.
“Berdasarkan maklumat, saya difahamkan bahawa anak lelaki saya sudah menaiki ambulans dari tempat kejadian, namun tidak pasti dihantar ke mana.
“Hal itu membuatkan saya risau (kerana) belum jumpa dari pagi sampai sekarang,” katanya ketika ditemui selepas keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Choo yang berasal dari Kepong berkata, dia kini akan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mengesan anak lelakinya itu.
“Saya sudah pergi Hospital Kuala Kubu Baru, Selayang dan cari di sini (Hospital Sungai Buloh) pun tidak jumpa. Saya akan terus cari di hospital yang lain,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai 94 mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor, hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 21 mangsa disahkan maut setakat pukul 7.30 malam tadi manakala baki 12 mangsa masih belum ditemui. – KOSMO! ONLINE