HULU SELANGOR – Korban kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini, meningkat kepada 19 mangsa menjadikan baki yang masih dicari melibatkan 14 orang.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, setakat pukul 5.30 petang tadi, tiga lagi mayat berjaya ditemukan.
“Setakat ini, kita jumpa tiga lagi mayat, namun seorang daripadanya sedang dalam usaha dibawa keluar. Baki 14 lagi mangsa masih dicari lagi.
“Usaha mencari dan menyelamat melibatkan khidmat anjing K9 daripada Bukit Aman, manakala bomba turut menggunakan kaedah mereka tersendiri dalam usaha menyelamatkan mangsa,” katanya dalam sidang akhbar tadi.
Sementara itu, Suffian turut memaklumkan mayat mangsa yang ditemui sehingga jam 1 tengah hari tadi pada mulanya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya lagi, selepas pukul 1 petang, mayat mangsa dipindahkan ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
“Mana-mana pihak yang mahu membuat pengecaman diminta datang ke Hospital Sungai Buloh atau datang ke lokasi untuk berhubung dengan komander operasi,” katanya.
Tambahnya, operasi dijangka akan diteruskan, namun akan berhenti sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan pada malam ini. -KOSMO! ONLINE