PETALING JAYA – Aktor Ungku Ismail memaklumkan tabung dana kecemasan bagi menampung kos perbelanjaaan rawatan aktres Nad Zainal sudah mencecah RM270,000.
Menurut Ungku, dana yang dikutip menerusi akaun Pertubuhan Kebajikan As-Sidiq itu dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk pasca rawatan bagi membantu perbelanjaan Nad sepanjang tempoh berehat daripada sebarang penggambaran nanti.
“Alhamdulillah tabung dana yang dilancarkan tempoh hari sudah mencecah RM270,000.
“Sebanyak tiga peratus akan diberikan kepada pertubuhan tersebut, manakala selebihnya menampung perbelanjaan dan ikhtiar dalam proses penyembuhan Nad,” katanya dalam sebuah video Instagram.
Tambah pelakon drama Adellea Sofea itu, segala ikhtiar untuk menyembuhkan Nad juga akan menggunakan wang hasil kutipan tersebut.
Sementara itu, menjawab pertanyaan ramai mengenai cara rawatan Islam, Ungku memberitahu pihak keluarga sudah melakukannya sejak hari kedua Nad dimasukkan ke hospital.
“Ada yang bertanya sama ada kami ada lakukan rawatan Islam. Ya, itu salah satu ikhtiar yang sudah diusahakan oleh keluarga Nad sejak hari kedua dia menerima rawatan di hospital.
“Memang berulang kali dilakukan termasuk memberi air zam zam dan meminta pusat tahfiz melakukan doa selamat.
“Ikhtiar lain termasuk menginfakkan sejumlah wang atas nama Nad daripada kutipan dana kepada golongan memerlukan,” ujarnya.
Sementara itu, berkongsi perkembangan pemilik nama penuh Farah Nadia Zainal Abidin itu, Ungku memberitahu rakan selebritinya itu masih dalam proses pemulihan.
“Keadaannya semakin baik dan masih lagi dalam fasa pemulihan.
“Teruskan berdoa untuknya agar Allah SWT mengangkat semua kesakitan dan membersihkan paru-parunya daripada sebarang penyakit,” katanya lagi.
Terdahulu, pada November lalu, Nad mengejutkan industri seni tanah air apabila dimasukkan ke sebuah pusat perubatan kerana jangkitan kuman pada paru-paru.
Dia juga ditidurkan kerana mengalami pendarahan paru-paru. – KOSMO! ONLINE