PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di lapan negeri sehingga pukul 10 malam ini.
Menurut MetMalaysia, ia melibatkan keseluruhan Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Pahang iaitu Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong, Temerloh dan Maran.
Katanya, Perak pula melibatkan Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Selain itu, di Selangor, cuaca buruk diramalkan tertumpu di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
“Bagi sebelah selatan, turut terlibat antaranya Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan Jempol di Negeri Sembilan serta Melaka Tengah dan Jasin di Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah MetMalaysia, amaran sama turut dikeluarkan bagi Limbang, Sarawak termasuk Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort di Sabah.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk terus berwaspada bagi mengelakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini. – KOSMO! ONLINE