PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan zakat PTPTN berjumlah RM220,000 kepada 220 mahasiswa asnaf berstatus Miskin Tegar dan Miskin eKasih di seluruh negara.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, setiap pelajar yang layak akan menerima sumbangan dalam bentuk akaun Simpanan SSPN Prime bernilai RM1,000.
“Sumbangan tunai berjumlah RM300 juga akan diberikan kepada pelajar oleh pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Dasuki, Program Didik Kasih (dKasih) – Kasih Siswa Tahun 2022 merupakan kerjasama antara PTPTN dengan ICU JPM yang memfokuskan pemberian bantuan pendidikan dan latihan kemahiran kepada isi rumah eKasih untuk melahirkan graduan yang kompeten dalam pelbagai bidang.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif kesejahteraan rakyat yang dilaksanakan oleh ICU JPM melalui Bahagian Kesejahteraan Rakyat (BSR) dengan penglibatan Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) di seluruh negara.
“ICU JPM turut membuat semakan silang data eKasih dengan data pelajar yang berdaftar bersama Unit Pusat Universiti (UPU), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” ujarnya.
Tambahnya lagi, PTPTN menyambut baik jalinan kerjasama di antara PTPTN dan ICU JPM dalam usaha membantu kerajaan melaksanakan inisiatif kesejahteraan rakyat.
“Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan kerajaan yang cakna dengan keperluan pembelajaran terutamanya terhadap golongan miskin bagi membentuk generasi yang berdaya saing di masa hadapan.
“Saya berharap dengan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga terbabit untuk menampung kos pengajian di IPT dan secara tidak langsung dapat memupuk sikap menabung untuk kegunaan masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, majlis simbolik penyampaian sumbangan telah diadakan semalam di ICU JPM yang disampaikan Ahmad Dasuki kepada Ketua Pengarah ICU JPM, Datuk Ruji Ubi. – KOSMO! ONLINE