DOHA – Pengendali Maghribi, Walid Regragui mengakui puas selepas membantu pasukan melakar sejarah tersendiri meskipun impian mara ke final Piala Dunia tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada Perancis di peringkat separuh akhir awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Al Bayt itu, skuad The Atlas Lions gagal mengekang asakan juara bertahan dari Eropah itu yang meraih gol hasil jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani untuk menempah slot ke peringkat final pada Ahad ini.
Keputusan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan rekod yang telah dicipta Maghribi sepanjang kempen Piala Dunia kali ini apabila menjadi negara benua Afrika dan bangsa Arab pertama mara ke pentas separuh akhir.
Kata Regragui, barisan pemain tidak perlu bersedih dengan kekalahan tersebut kerana sudah memberikan inspirasi serta kegembiraan buat jutaan peminat khususnya warga benua Afrika dan bangsa Arab di Asia Barat.
“Pemain harus tahu realiti yang telah mereka cipta ketika ini kerana sambutan yang diberikan terutama daripada pihak media dan peminat adalah sesuatu yang luar biasa serta tidak keterlaluan untuk dikatakan sebagai fenomena.
“Kita telah membuat jutaan orang bangga dan gembira dengan pencapaian pasukan sepanjang kempen Piala Dunia kali ini meskipun gagal melunaskan impian untuk melangkah ke pentas final.
“Sudah tentu kami agak terkilan, tetapi inilah lumrah bola sepak dan keajaiban tidak boleh terus membantu anda sehingga ke perlawanan akhir. Namun, pemain boleh mengubat duka dengan pamer prestasi terbaik pada penentuan tempat ketiga nanti,” katanya.
Mengeluas mengenai perlawanan tersebut, Regragui mengakui Perancis lebih layak untuk bersaing di perlawanan akhir menentang Argentina dan berharap apa yang dilalui akan memberikan pengalaman berharga buat pasukan.
“Ini adalah Perancis yang sebenar dengan status mereka selaku juara bertahan, mereka berhak ke pentas final.
“Cabaran sebenar pasukan adalah untuk kekalkan momentum sedia ada kerana buat masa ini, kita masih jauh jika mahu dibandingkan dengan gergasi bola sepak antarabangsa seperti Sepanyol, Brazil atau England,” katanya.
Maghribi yang menduduki ranking ke-22 dunia akan menentang Croatia pada penentuan tempat ketiga di Stadium Khalifa malam esok. – AGENSI