fbpx

Piala Dunia: Lloris beri amaran tugas Perancis lebih getir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LLORIS bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Maghribi untuk membantu Perancis meraih kemenangan awal pagi semalam. – AFP

AL KHOR – Penjaga gol Perancis, Hugo Lloris menggesa rakan sepasukan supaya tidak terlalu gembira meskipun sudah mela­yakkan diri ke perlawanan akhir saingan Piala Dunia 2022.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Al Bayt awal pagi semalam, Les Bleus berjaya mengetepikan cabaran Maghribi dengan kemenangan 2-0 menerusi jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani.

Justeru, Perancis yang merupakan juara bertahan akan membuat perhitungan dengan satu lagi pasukan pilihan, Argentina yang menyingkirkan Croatia selepas mencatat kemenangan 3-0 kelmarin.

Lloris yang juga kapten Pe­rancis memberi amaran kepada rakan sepasukan mereka perlu berada pada tahap terbaik memandangkan skuad Argentina kali ini turun dengan motivasi cukup tinggi untuk merangkul gelaran ketiga mereka.

“Argentina sebuah pasukan yang sangat baik dan ia sudah dibuktikan sepanjang mereka beraksi di sini. Mereka juga memiliki seorang pemain (Messi) yang sudah meninggalkan legasi dalam bola sepak.

“Saya percaya perlawanan akhir itu nanti akan menyajikan aksi yang cukup menarik kepada semua penonton. Apa yang pasti, saya dan rakan sepasukan akan berikan segala-galanya untuk menang,” katanya.

Pada perlawanan semalam, penjaga gol Tottenham Hotspur itu mengakui, mereka berdepan kesukaran sepanjang perlawanan memandangkan Maghribi tidak berputus asa me­lancarkan sera­ngan demi serangan.

“Kami benar-benar sengsara pada perlawanan hari ini (semalam) dan sangat penat, namun kami berpuas hati kerana layak ke perlawanan akhir. .

“Final kedua dalam tempoh empat tahun bukanlah perkara biasa walaupun persembahan kami tidak begitu baik. Sekarang kami perlu fokus untuk menjalani pemulihan,” ujar Lloris.

Les Bleus kini menggalas misi untuk menjadi pasukan kedua yang berjaya mempertahankan trofi Piala Dunia selepas kali terakhir dilakukan Brazil ketika mereka muncul juara pada edisi 1962. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI