fbpx

Monyet, babi berkeliaran, Kampung Biong macam ‘zoo mini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua ekor babi berkeliaran di hadapan salah sebuah rumah penduduk.

KUALA KANGSAR – Kampung Biong, Sauk di sini, bagaikan ‘zoo mini’ apabila banyak babi dan monyet liar berkeliaran termasuk di sekitar halaman rumah penduduk tanpa mengira waktu.

Malah, kehadiran babi hutan turut mengancam keselamatan penduduk apabila haiwan itu sering melintas jalan sehingga banyak nyawa pengguna jalan raya melayang.

Seorang penduduk, Norha­limaton Wahab, 55, berkata, kehadiran banyak babi dan monyet di kampung itu sememangnya mengganggu kehidupan mereka.

“Banyak tanaman yang diusahakan penduduk dimusnahkan oleh babi hutan. Habis tanaman dikorek, waktu siang pun binatang ini berkeliaran.

“Bukan itu sahaja, sudah beberapa kali kemalangan berlaku membabitkan penduduk yang terlanggar babi melintas jalan. Seingat saya sudah ramai yang maut akibat kemalangan itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Seorang lagi penduduk, Rahmah Mat Jais, 50, memberitahu, mereka berasa tertekan dengan kehadiran monyet-monyet di sekitar kampung tersebut.

Katanya, ada antara haiwan tersebut gemar memanjat bumbung rumah penduduk serta memakan hasil tanaman seper­ti buah-buahan.

“Babi dan monyet memang mengganggu kami. Kalau petang masa budak-budak keluar bermain, haiwan itu pun keluar.

“Situasi ini membahayakan kanak-kanak, mereka bukannya peka dengan keadaan sekeliling ketika bermain,” ujarnya.

Farhan Zulkefly, 30, pula berkata, mereka pernah menggunakan khidmat pemburu berle­sen bagi mengatasi masalah itu, namun ia tidak berhasil, malah populasi haiwan itu didapati semakin meningkat saban tahun.

“Saya sering terserempak de­ngan babi ketika mahu ke tempat kerja, nasib baik tidak terlanggar babi hutan melintas jalan.

“Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan untuk mengekang masalah ini ke­rana ia begitu merunsingkan kami semua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI