PEMAIN naturalisasi baharu negara, Lee Tuck mengakui semakin serasi dengan skuad Harimau Malaya selepas membantu pasukan menang 3-0 pada aksi pemanas badan menentang Maldives di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.
Pada aksi tersebut, pemain kelahiran England itu memanfaatkan peluang apabila dimasukkan sebagai pemain gantian untuk meledak gol kedua antarabangsa dalam dua penampilan bersama skuad Harimau Malaya.
Namun, Lee Tuck menyeru rakan-rakan sepasukan tidak mendabik dada kerana cabaran sebenar akan dihadapi adalah Piala AFF, 21 Disember ini.
“Apa yang saya lihat, kami bermain sebagai satu pasukan tanpa ada pemain yang dianggap bertaraf bintang dengan semua tonggak ada peranan masing-masing.
“Saya harap dua aksi pemanas badan ini dapat meningkatkan lagi semangat pemain sebelum mengharungi kejohanan sebenar kerana saingan itu lebih mencabar,” katanya kelmarin.
Mengulas lanjut, pemain berusia 34 tahun itu mengakui musim sukar dihadapinya tidak merentap semangatnya untuk menyahut cabaran mewakili skuad kebangsaan buat pertama kali.
“Saya akui bukan mudah apabila kurang mendapat minit permainan di peringkat kelab tetapi saya sentiasa bekerja keras untuk mengekalkan tahap kecergasan,” kata tonggak Sri Pahang itu.
Selain Lee Tuck, skuad kendalian Kim Pan-gon turut membawa seorang lagi pemain naturalisasi baharu iaitu penyerang kelahiran Argentina, Sergio Aguero.