HULU SELANGOR – Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan arahan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengosongkan tapak perkemahan berisiko tinggi selama tujuh hari, berkuatkuasa pagi tadi.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland dekat sini berulang.
“Arahan telah dikeluarkan pagi tadi, semua tapak perkemahan seluruh negara akan dikosongkan segera selama tujuh hari sehingga kerajaan memberi arahan baru,” katanya .
Kor Ming berharap, orang ramai terutamanya ibu bapa dapat memilih lokasi lain yang lebih selamat untuk melakukan aktiviti percutian terutamanya dalam tempoh cuti persekolahan ini.
“Kita (akan terus) memantau dan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) untuk mendapatkan ramalan tepat,” katanya.-KOSMO! ONLINE.