KOTA TINGGI – Tular rakaman seorang kanak-kanak lelaki membuang air kecil di ruang dapur masak restoran dekat sebuah pasar raya di sini yang mengundang rasa kurang enak dan loya dalam kalangan orang ramai.
Rakaman video berdurasi 1 minit 24 saat itu memaparkan seorang wanita yang sedang menyiapkan masakan sebelum didatangi kanak-kanak tersebut.
Tindakan wanita itu yang hanya ‘membasuh’ kencing kanak-kanak itu selepas membuang hajat di dapur berkenaan dengan sekadar menggunakan tangan yang basah selepas dicelup dari bekas air sebelum menyambung memasak ternyata menjijikkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, pihaknya telah mengambil maklum akan video tular itu dan satu pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi telah dihantar untuk menjalankan siasatan.
“Pemeriksaan di lapangan pada pukul 11.45 pagi tadi mendapati premis disewakan kepada bukan warga negara di mana kesemua empat pengendali makanan tersebut tidak mempunyai sijil latihan pengendali serta seorang didapati tidak mempunyai suntikan typhoid.
“Antara kesalahan yang ditemui di restoran berkenaan adalah pencemaran silang di tempat penyimpanan makanan, tidak menjaga titik kawalan kritikal ke atas makanan yang telah dimasak
“Lantai kotor dan tidak dibersihkan, dinding berhabuk dan bersawang, penyimpanan makanan yang tidak bersih, terdapat talang telur yang berada di tempat penyediaan makanan dan telur-telur tidak dicuci sebelum digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesalahan lain yang turut dikesan adalah tempat mencuci tangan tidak dilengkapi dengan sabun cecair dan pengering tangan atau tuala pakai buang.
Tambahnya, mereka juga menggunakan tong sampah yang tidak dibersihkan, kotor dan tidak bertutup di samping sistem saliran yang tidak efektif dan menyebabkan air limpah mengalir ke atas permukaan jalan.
“Susulan itu arahan penutupan telah diberikan di bawah Seksyen 12 Akta Makanan 1983 serta Arahan Pembersihan di bawah Seksyen 10(1) Akta Makanan 1983.
“Kompaun juga turut dikeluarkan ke atas pemilik premis kerana gagal memastikan premis di dalam keadaan baik dan bersih di bawah Peraturan 11(1), dibaca bersama Peraturan 15(1) kerana tidak mendaftarkan Premis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Kita mengucapkan terima kasih di atas hantaran Facebook tersebut dan mengingatkan kepada semua agar sentiasa memilih premis makanan dan pengendali makanan yang mengamalkan pengendalian makanan yang bersih,” katanya lagi
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga mengalu-alukan sebarang aduan dimajukan ke mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah yang berkaitan. – KOSMO! ONLINE