SUNGAI PETANI – Seorang juruteknik televisyen litar tertutup (CCTV) maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah treler dalam kejadian di Jalan Inai, dekat sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa, Lim Peng Choon, 28, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan dari arah Kelab Cinta Sayang menghala Jalan Bakar Sampah.
“Mangsa dipercayai memandu laju sebelum gagal mengawal kereta ketika melalui satu selekoh sebelum merempuh belakang treler yang diletakkan di bahu jalan.
“Kemalangan mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, semasa kejadian pemandu treler berada di rumahnya di Flat Paya Nahu, di sini.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.
Beliau turut meminta saksi kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668. – KOSMO! ONLINE