LONDON – Bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dibayar lebih £1 juta(RM5.40 juta) untuk menyampaikan empat ucapan sejak beliau meletak jawatan lebih tiga bulan lalu, lapor portal berita ARY News semalam.
Johnson berundur sebagai Perdana Menteri awal September lalu selepas beliau kehilangan sokongan barisan menteri dan ahli Parlimen berikutan pelbagai skandal ketika seluruh Britain berada di bawah perintah berkurung ketat semasa pandemik Covid-19.
Lelaki berusia 58 tahun itu dibayar £1,030,782 (RM5,568,394) untuk empat kali berucap pada Oktober dan November lalu, pada kadar kira-kira 30,000 pound (RM162,063) sejam, demikian menurut daftar terkini kepentingan kewangan Ahli Parlimen.
Kerja bergaji terbaik bekas Perdana Menteri itu ialah ucapannya di New York kepada firma kewangan Centerview Partners yang diperolehnya sebanyak £277,724 (RM150,0294).
Firma itu juga menyediakan pengangkutan dan penginapan untuk Johnson dan dua kakitangannya serta komitmen masanya ialah sebanyak sembilan jam.
Pendapatannya yang lain ialah penglibatan bercakap dan penerimaan beliau sebagai orang kenamaan dengan akhbar India, Hindustan Times yang mana bekas Perdana Menteri itu dibayar £261,652 pound (RM1,413,471) dan £215,276 pound (RM1,162,943) lagi untuk ucapan di CNN Global Summit Lisbon serta £276,130 (RM 1,491,683) untuk Majlis Persidangan Ejen-Ejen Insurans dan Broker. – Agensi