fbpx

Anak Mira Filzah diintai jenama, rumah produksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK Mira Filzah, Wan Khair Amir mesra kamera walaupun baru berusia tujuh bulan.

KUALA LUMPUR – Baru mencecah tujuh bulan, anak pelakon Mira Filzah, Wan Khair Amir Wan Emir Astar sudah diintai jenama besar dan rumah produksi.

Pelakon popular itu berkata, dia dan suami terbuka memberi ruang kepada permata hati mereka terbabit dalam bidang komersil, namun perlu menapis tawaran mengikut kesesuaian usianya.

“Memang ada yang risik-risik mengenai kesediaan saya ‘melepaskan’ Amir ke dunia komersil sama ada membabitkan iklan mahupun berlakon.

“Kalau kempen yang memerlukan tempoh singkat boleh dipertimbangkan, cuma terbabit dalam lakonan mungkin bukan dalam waktu terdekat sebab dia masih terlalu kecil,” katanya.

Kata pemilik nama lengkap Nur Amirah Filzah Badioezaman, 39, itu, sebenarnya sudah ada beberapa penampilan dia bersama Amir untuk promosi produk dan perkhidmatan yang menggunakan platform laman sosial.

“Amir pun suka tengok kamera macam yang ditunjukkan ketika kami menjalani kempen sebuah produk dari Korea Selatan. Dia bukan ‘camera shy’,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mira berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran RR Empire yang menjadikannya sebagai ‘muse’ bagi koleksi tudung mono pereka terkenal, Rizman Ruzaini.

Pelakon drama The Hotel itu pada masa sama turut memaklumkan tentang kesediaannya untuk kembali aktif dalam arena lakonan tahun depan.

Katanya, perancangan ke arah itu disusun dengan baik selepas dia kini mempunyai pembantu untuk menjaga si kecil ketika keluar menjalani penggambaran nanti.

“Sejujurnya saya sudah dapat tawaran berlakon selepas habis berpantang, tetapi ketika itu fokus utama lebih kepada si kecil yang memerlukan perhatian.

“Tambahan pula sebelum ini saya belum temui pembantu. Jadi saya tumpukan dahulu pada Amir selain terbabit dalam kempen komersil yang lebih singkat masa penggambarannya.

“Rindu kepada dunia lakonan sudah tentu ada. Sekarang ada pembantu, saya dapat masuk set, tetapi bukan melibatkan masa berminggu-minggu,” katanya yang tetap terbuka menerima tawaran daripada mana-mana produksi.

Untuk info, perkahwinan Mira dan suami, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar pada 3 September 2020 diserikan dengan kehadiran Amir yang dilahirkan pada 10 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI