GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan 32 individu yang dipercayai terlibat sebagai ejen ‘bookie’ pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Ops Soga IX yang dijalankan sepanjang tempoh 19 November hingga 14 Disember lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sepanjang tempoh berkenaan pihak polis telah melancarkan 19 serbuan di seluruh negeri bagi mencegah dan membanteras semua aktiviti perjudian catit taruh tanpa lesen yang sah sepanjang kejohanan Piala Dunia berlangsung.
“Individu yang ditahan adalah 28 lelaki warga tempatan manakala empat lagi adalah warga asing.
“Pihak polis telah merampas wang tunai berjumlah RM 64,873, 26 unit telefon bimbit termasuk kad sim, satu unit komputer riba, satu unit modem dan tujuh kertas catatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, Ops Soga IX itu juga dijalankan bagi menangkap mana-mana individu yang bertindak sebagai ‘bookie’ dan seterusnya mendakwa mereka di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953.
“Kesemua tangkapan direman untuk siasatan lanjut, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953, dan Seksyen 4 (1) (d) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.
Tambahnya, polis Pulau Pinang komited dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individy yang terlibat menganjur dan menjalankan aktiviti pertaruhan tanpa lesen berlandaskan undang-undang sedia ada.
“Polis juga memohon kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan pertaruhan bola sepak melalui hotline Bilik Gerakan Polis Pulau Pinang menerusi talian 04-2221522 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE