fbpx

Tak minat saya? Tak mengapa – Elly Mazlein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELLY Mazlein bersyukur dengan rezeki melimpah-ruah dalam bidang pengacaraan meskipun perjalanan yang dilaluinya sebelum ini bukan mudah.

KUALA LUMPUR – Selebriti versatil, Elly Mazlein enggan mengambil tahu jika ada pihak tidak menyukai dan membenci dirinya gara-gara semakin ‘laris’ muncul dalam pelbagai program televisyen.

Ujar Elly atau nama lengkapnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ketika ditemui Kosmo! Online baru-baru ini, dia tidak mahu mengendahkan perkara itu yang disifatkan negatif.

Baginya, dia hanya ingin melayan dan memberi tumpuan kepada mereka yang meminatinya di luar sana.

“Tidak suka dengan saya? Saya tak pernah fikir tentang perkara negatif. Saya hanya memikirkan tentang peminat yang meminati saya.

“Kepada yang tidak berminat, tidak mengapa kerana saya sentiasa memberi ruang kepada mereka untuk menerima saya suatu hari nanti. Orang kata tak kenal, maka tak cinta,” katanya.

Ujar selebriti yang mesra disapa Kak Lina Pom Pom itu lagi, dia bersyukur atas rezeki dalam bidang pengacaraan walaupun kariernya yang bermula sekitar 20 tahun lalu diawali sebagai penyanyi.

Katanya, kebangkitan seorang anak seni bernama Elly Mazlein bukan mudah dan tidak melalui jalan pintas untuk dia berada di tahap seperti hari ini.

“Untuk saya berada di tahap hari ini bukan mudah. Saya bekerja keras dan sentiasa buat yang terbaik sebagai tanda menghormati rezeki yang diberikan.

“Ini semua kerja Allah SWT. Selain usaha, kita juga perlu berdoa dan tawakal. Selebihnya kita serahkan pada Allah SWT. Siapa sangka pada usia 42 tahun, rezeki hadir melimpah-ruah dan tidak putus-putus,” katanya.

Ketika disoal tentang kerjaya nyanyiannya yang dianggap ‘gagal’, Elly yang ditemui ketika majlis sidang media The Masked Singer Malaysia baru-baru ini tidak terasa hati walaupun bidang yang mengangkat namanya sebagai anak seni tidak berjalan dengan begitu baik berbanding pengacaraan.

“Saya tidak kisah sama ada menyanyi, berlakon atau mengacara. Selagi ada rezeki, saya sangat bersyukur.

“Memang betul, mungkin tidak ada rezeki dalam bidang nyanyian, tapi saya ada rezeki lain dalam bidang pengacaraan. Apa yang pasti, kedua-duanya masih lagi dalam bidang yang sama,” jelasnya.

Nama Elly Mazlein kini semakin gah bukan sahaja sebagai penyanyi dan pelakon, bahkan selaku pengacara sehingga mencetuskan fenomena luar biasa ketika menjadi hos program Gegar Vaganza Musim kesembilan (GV9).

Terkini, dia menjadi salah seorang juri baharu untuk program The Masked Singer Malaysia musim ketiga yang turut menampilkan barisan juri lain seperti Emma Maembong, Sharnaaz Ahmad dan pelawak, Shuib. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI