PETALING JAYA – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin teruja kembali menjejakkan kaki ke Indonesia yang dianggap sebagai rumah keduanya.
Siti, 43, diundang sebagai tetamu istimewa pada konsert akhir program D’Academy ke-5 (DA5) yang dipancarkan secara langsung menerusi stesen televisyen Indosiar, Isnin lalu.
Penyanyi tersohor itu yang turut mengadakan persembahan bersama dua finalis DA5 menyatakan rasa bahagia dapat bersua dengan peminat di republik berkenaan.
“Kebahagiaan saya dapat kembali ke rumah kedua saya, Indonesia. Terima kasih peminat saya di Indonesia,” ujar Siti.
Pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Taruddin itu juga turut meluahkan rasa gembira dan terharu kerana berpeluang mengadakan persembahan bagi program siaran stesen Indosiar.
“Sangat membahagiakan apabila saya dapat bertemu dengan bintang-bintang muda DA5 yang sangat berbakat dan juga peminat serta penonton di Indonesia.
“Alhamdulillah dapat bersama-sama finalis Sridevi dan Eby serta berduet dengan Fildan adalah pengubat rindu saya kepada peminat di Indonesia.
“Terima kasih Indosiar, kepada semua yang menonton dan semoga ada rezeki saya dapat kembali ke negara ini,” katanya dalam hantaran Instagram.
Perkongsian isteri Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu dipenuhi dengan komen peminat Indonesia yang menzahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan persembahan Siti.
“Seronok sangat, sanggup tengok sampai habis semata-mata mahu tengok Tok Ti (gelaran Siti) menyanyi. Malaysia perlu bangga mempunyai permata seperti Datuk Siti,” komen seorang peminatnya.
“Persembahan mega yang cukup memukau, kehadiran Datuk Siti menjadikan pentas dangdut lebih gamat persis antarabangsa.
“Nirmala dan Purnama Merindu sentiasa membuatkan saya ingin turut menyanyi sekali. Saya berharap Datuk Siti menjadi juri tetap untuk musim seterusnya,” komen peminat yang lain.
“Berpuas hati dengan kualiti vokal dan persembahan Datuk Siti yang banyak membantu persembahan finalis.
“Finalis perlu bekerja keras untuk berduet dengan Datuk Siti kerana kita semua maklum auranya tidak dapat ditandingi,” komen seorang peminat lagi.
Siti merupakan penyanyi yang sangat popular di rantau Asia sekali gus menjadi artis Malaysia yang paling banyak menerima anugerah.
Pencapaiannya pernah dicatat dalam Malaysia Book of Records pada 2001 dan beliau kekal memegang rekod tersebut sehingga ke hari ini. – KOSMO! ONLINE