fbpx

Rumah jadi transit simpan 3.2 tan minyak masak peket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai KPDNKSH Kelantan memeriksa kotak-kotak minyak masak yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Longgel Lemal, Pasir Mas semalam. FOTO IHSAN KPDNKSH KELANTAN

PASIR MAS – Pemandu sebuah lori dan dua orang kelindan dicekup selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan sebanyak lebih 3.2 tan minyak masak peket bernilai RM 8,160 di sebuah rumah di Kampung Longgel Lemal di sini semalam.

Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Kelantan menerusi Ops Membanteras Ketirisan Barang Kawalan di rumah tersebut kira-kira pukul 1 tengah hari.

Pengarah KPDNKSH Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya menjalankan risikan dan mengesan sebuah lori yang membawa barangan kawalan bersubsidi dari syarikat pembungkus minyak masak.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kenderaan yang dinaiki tiga individu itu dipercayai akan membawa barangan tersebut ke sebuah premis untuk transit di Kampung Longel Lemal di sini.

“Pegawai KPDNKSH telah mengekori lori itu dan mendapati ketiga-tiga suspek sedang memindahkan kotak minyak masak dari kenderaan tersebut di sebuah rumah sebelum terus menjalankan serbuan.

“Pemeriksaan lanjut di rumah itu menemui sebanyak 3,246 kilogram minyak peket yang dipercayai akan diseludup ke negara jiran. Siasatan turut mendapati, rumah tersebut dijadikan sebagai tempat transit untuk menyimpan barangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman, pemandu dan kelindan lori itu yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an turut ditahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, KPDNKSH Kelantan memberi amaran kepada individu atau peniaga yang berniat untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu supaya berhenti dengan segera.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau peniaga yang melakukan kesalahan itu malah mereka akan berdepan dengan tindakan dan denda yang tinggi,” katanya.

Tambah Azman, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI