DOHA – Legenda Brazil, Ronaldo percaya bahawa bintang sensasi pasukan kebangsaannya, Neymar akan terus memainkan peranan penting dalam pasukan itu biarpun dikatakan sedang membuat pertimbangan untuk bersara di peringkat antarabangsa.
Neymar mengeluarkan kenyataan bahawa dia sudah tidak pasti mengenai masa depannya bersama Brazil selepas pasukan itu ditunjukkan jalan keluar pada pentas Piala Dunia 2022 di Qatar selepas kekalahan kepada Croatia di suku akhir.
Bintang Paris Saint-Germain itu akan berusia 34 tahun untuk edisi seterusnya pada 2026, namun Ronaldo berpendapat bahawa Neymar masih mampu memainkan peranan penting dalam pemburuan gelaran keenam mereka.
“Saya fikir Neymar sangat sedih dengan apa yang dilalui pasukan Brazil pada Piala Dunia kali ini. Ia adalah perasaan biasa, tetapi saya yakin dia akan kembali lebih kuat dan terus beraksi bersama pasukan kebangsaan.
“Dia masih muda dan saya fikir dia akan mampu untuk terus beraksi pada edisi selepas ini,” katanya.
Neymar berjaya menyamai rekod penjaring terbanyak Brazil sepanjang zaman, Pele ketika meledak gol menentang Croatia, namun kegembiraan itu tercalar ekoran kekalahan mereka menerusi penentuan sepakan penalti.
Bekas pemain Inter Milan dan Real Madrid berusia 46 tahun itu turut memuji dedikasi Neymar sepanjang di Qatar apabila berusaha keras untuk pulih daripada masalah kecederaan buku lali pada aksi pertama menentang Serbia untuk memastikannya terus membantu Brazil.
“Dia sudah melakukan pengorbanan besar untuk pasukan kebangsaan. Dia bermain dengan baik pada aksi terakhir dalam keadaan belum pulih sepenuhnya. Saya harap dia segera sembuh dan kembali memberikan aksi terbaik bersama kelab dan Brazil,” jelasnya. – AGENSI