LUSAIL – Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni tidak dapat menahan sebak apabila mengemudi pasukannya melangkah ke final Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Croatia 3-0 pada aksi separuh akhir awal pagi semalam.
Lebih menggembirakan beliau adalah kejayaan di Stadium Lusail itu tercetus hasil inspirasi daripada kapten La Albiceleste, Lionel Messi yang meledak satu gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-34.
Gol itu menyaksikan Messi, 35, kini berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia 2022 bersama penyerang Perancis, Kylian Mbappe yang juga rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain.
Ia juga adalah gol Piala Dunia yang ke-11 Messi sekali gus mengatasi rekod jaringan terbanyak Argentina di pentas berprestij dunia itu yang dipegang oleh Gabriel Batistuta (10 gol).
“Saya sangat berbesar hati dapat melatih dan melihat Messi beraksi. Mungkin saya pentingkan diri sendiri, tetapi saya tidak teragak-agak mengakui dia adalah pemain terbaik sepanjang zaman,” kata Scaloni.
Kemenangan itu meletakkan Messi semakin hampir untuk mengikut jejak langkah mendiang Diego Maradona yang merupakan kapten terakhir Argentina menjuarai Piala Dunia sewaktu edisi 1986 di Mexico.
Ia juga adalah peluang terbaik buat Messi menjulang trofi keramat itu kerana edisi kali ini bakal menjadi penampilan terakhirnya di Piala Dunia selepas dikecewakan Jerman pada final edisi 2014 di Brazil.
“Croatia menguasai permainan, tetapi kami sudah menjangkakannya sebelum mula perlawanan lagi. Mereka mempunyai tiga pemain tengah berkaliber yang sudah beraksi bersama sejak sekian lama.
“Kami sedar corak permainan sebegitu akan dipamerkan oleh Croatia, tetapi perlawanan kembali terbuka selepas kami memperoleh sepakan penalti yang disudahkan oleh Messi.
“Keputusan ini tidak menggambarkan perlawanan sebenar. Saya rasa kami berhak untuk menang, namun tidak dengan jumlah jaringan seperti ini,” jelasnya.
Sebagai rekod, Argentina membuka kempen Piala Dunia 2022 dengan kekalahan 1-2 kepada Arab Saudi sebelum menewaskan Poland, Mexico, Australia, Belanda dan kini Croatia untuk menempah tiket final. – AGENSI