fbpx

Pesona inap desa rumah tradisi Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INAP desa Rumah Tiang 16 yang terletak di Lenggong, Perak ini masih mengekalkan ciri-ciri dan seni bina rumah Melayu tradisional.

SETIAP kali tinggal di inap desa, para pengunjung pasti akan berasa seperti sedang bercuti di kampung halaman sendiri.

Konsep berkenaan terbukti berjaya menarik minat ramai warga kota untuk menginap di inap desa apabila bercuti, sekali gus menggamit memori mereka tinggal di kampung ketika kecil.

Menyedari permintaan kian menggalakkan, sebuah rumah lama di Lenggong, Perak kepunyaan bekas pekerja industri perhotelan telah diubah suai menjadi inap desa.

Menurut pemilik inap desa Rumah Tiang 16 (RT16), Abdul Nasir Jalaludin, dia menyedari bahawa kediaman lama milik keluarganya itu mempunyai pesona tersendiri.

Dia yang lebih dikenali sebagai Nash berkata, kelebihan tersebut mendorongnya mengubah suai rumah berkenaan menjadi sebuah inap desa berkonsep kampung.

“Inap desa ini terletak di Kampung Kubang Jambu, Lenggong. Nama RT16 dipilih kerana terdapat 16 tiang yang menyokong struktur seni bina monumen lama ini.

“Saya ubah suai rumah ini selepas kembali semula ke kampung halaman pada 2017.

“Ia merupakan rumah pertama saya sehingga berusia 10 tahun sebelum berpindah keluar,” ujarnya.

Kediaman yang dibina pada 1974 itu dibiarkan kosong selepas mereka sekeluarga berpindah keluar dari rumah berkenaan.

Rumah dua lapis itu dihasilkan daripada kombinasi kayu merbau, cengal mas dan kemuning, sekali gus berjaya menyerlahkan seni bina tradisional.

RUANG dalam inap desa berkenaan masih mengekalkan ukiran dan hiasan klasik bagi mengimbau memori pelawat sewaktu tinggal di kampung.

Dikelilingi kehijauan alam, selain terletak tidak jauh dari tempat tarikan seperti gua batu kapur dan lata air terjun, pengunjung pasti berpuas hati dengan percutian mendamaikan di lokasi menarik itu.

Tambah Nash, pengalaman dalam industri perhotelan sedikit sebanyak telah mendorongnya untuk membantu merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Lenggong.

“Lembah Lenggong merupakan tapak warisan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik).

“Selepas pulang semula ke sini, saya membuka rumah lama milik keluarga ini kepada orang ramai,” ujarnya.

Dia memaklumkan, rumah tersebut menggabungkan elemen yang ada pada dua rumah tradisional Perak iaitu rumah kutai dan rumah perabung lima.

Kedua-dua rumah itu merupakan binaan Melayu yang sering dibangunkan di kawasan berhalaman.

RT16 dilengkapi dengan semua kemudahan asas seperti tiga buah bilik tidur, dapur, ruang makan dan ruang solat. Ukiran dan hiasan klasik yang dikekalkan pada kediaman itu benar-benar menggamit nostalgia.

Ujar Nash, hasratnya adalah untuk menjadikan Lenggong sebagai destinasi pilihan meliputi arkeologi bagi membolehkan orang ramai mengenali sejarah Melayu.

“Menerusi pakej tiga hari dua malam yang diperkenalkan di inap desa ini, saya berharap orang ramai dapat merasai sendiri pengalaman tinggal di rumah kayu tradisional,” katanya.

Rata-rata pengunjung memberikan respon positif terhadap usaha Nash mempromosikan Lenggong sebagai sebuah lokasi pelancongan bersejarah menerusi pakej ditawarkan di RT16.

Mereka yang berminat untuk menginap di RT16 boleh membuat tempahan dengan menghubungi talian 019-336 8807 atau e-mel kepada [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI