LONDON – Pekerja-pekerja kereta api Britain mengadakan mogok di seluruh negara selama dua hari bermula kelmarin sekali gus menandakan bulan piket melibatkan pelbagai profesion daripada jururawat hinggalah kepada pekerja kawalan pasport.
Perkembangan itu menyaksikan berjuta-juta orang berdepan kesukaran menjelang sambutan Hari Krismas.
Orang ramai sukar berulang-alik dari tempat kerja dengan ramai antara mereka memilih untuk tinggal di rumah ketika beribu-ribu ahli kesatuan sekerja kereta api terbesar Britain, (RMT) melancarkan mogok kerana kecewa gaji di bawah paras inflasi.
Tanpa mempedulikan ais dan salji, ahli-ahli kesatuan sekerja RMT berpiket di stesen-stesen kereta api utama Britain kelmarin yang menyaksikan perkhidmatan tren terjejas, manakala orang ramai dinasihatkan untuk melakukan perjalanan hanya sekiranya perlu.
Kereta api bergerak dari pukul 7.30 pagi hingga 6.30 petang sahaja sepanjang dua hari mogok berlangsung dengan cuma satu daripada lima perkhidmatan yang ada beroperasi.
Di stesen Kings Cross London, Allan Smith yang merupakan seorang pembangun laman web berusia 28 tahun berkata, dia bersimpati dengan pekerja-pekerja kereta api walaupun dirinya berdepan kesukaran untuk melakukan perjalanan ke lapangan terbang Heathrow.
“Saya benar-benar bersimpati. Keadaan teruk untuk rakyat pada masa ini,” katanya.
Bekas anggota bomba, Chris McBride, 74, pula menyalahkan ‘kerajaan yang tidak cekap’ sebagai punca kesukaran yang berlaku, manakala lebih banyak mogok dirancang antara sekarang hingga Tahun Baharu.
Britain mengalami gelombang piket pada skala yang tidak pernah berlaku sejak tahun 1980-an, selepas kadar inflasi menongkah dua digit. Kos sara hidup dan kos tenaga di negara berkenaan melambung tinggi akibat perang di Ukraine.
Pekerja-pekerja pos melancarkan mogok dua hari bermula hari ini (waktu Malaysia), manakala jururawat bersedia untuk berpiket buat kali pertama dalam tempoh 106 tahun bermula esok, semuanya kerana menuntut kenaikan gaji.
Pekerja-pekerja kereta api akan mengadakan mogok dua hari lagi mulai lusa (waktu Malaysia) dengan mereka akan disertai oleh pemandu bas, pekerja lebuh raya dan pengendali bagasi lapangan terbang.
– AFP