KUANTAN – Bilangan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini menurun kepada 142 orang berbanding 358 mangsa yang direkodkan sehingga petang semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, kesemua mangsa daripada 36 keluarga itu ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pekan.
“Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara, Pekan yang melibatkan 142 orang mangsa daripada 36 keluarga,” katanya di sini hari ini.
Menurut Che Adam, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan di Temerloh mula ditutup petang semalam setelah mangsa pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan banjir kembali pulih.
Dalam pada itu, Che Adam berkata, paras air Sungai Keratong, Jalan Kota Bahagia di Rompin menunjukkan trend amaran berbahaya, manakala empat batang sungai di daerah Bera, Maran dan Pekan masih dalam keadaan trend amaran.
Beliau berkata, keadaan hujan dan ribut petir dijangka masih berlaku di kebanyakan tempat negeri ini bermula waktu pagi, petang hingga ke malam. – KOSMO! ONLINE