PETALING JAYA – Malaysia telah menarik sejumlah RM193.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama yang melibatkan 2,786 projek bagi tempoh Januari sehingga September 2022.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian ini merupakan peningkatan 2.5 peratus berbanding RM188.9 bilion pelaburan yang diluluskan pada tempoh yang sama tahun lepas.
Menurutnya, melalui pelaburan tersebut, ia telah mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan di negara ini.
“Kejayaan Malaysia menarik hampir RM194 bilion pelaburan yang diluluskan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini adalah bukti kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama di Asia.
“Rantaian bekalan yang mantap, struktur kos yang kompetitif, proses operasi perniagaan yang dipermudahkan, inovasi dan keupayaan teknologi canggih, serta bakat tempatan yang terlatih menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan.
“Memandang ke hadapan, MITI dan agensi-agensinya juga akan memastikan agar peluang pelaburan baharu akan membina kapasiti dan modal insan yang sesuai di dalam industri sasaran bagi membina ekonomi negara secara mampan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Tengku Zafrul menerangkan, pelaburan terus asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 67.5 peratus atau RM130.7 bilion sementara pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 32.5 peratus atau RM63 bilion.
Ini merupakan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding FDI yang diluluskan pada tempoh yang sama tahun 2021.
Tambah beliau, daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, Republik Rakyat China mendominasi pelaburan asing sebanyak RM49.2 bilion diikuti oleh Amerika Syarikat (RM16.9 bilion), Belanda (RM16.5 bilion), Jerman (RM9.2 bilion) dan Singapura (RM8.7 bilion).
Lima negeri telah merekodkan pelaburan diluluskan yang signifikan termasuk Johor (RM63.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM26.1 bilion), Selangor (RM25.7 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion) dan Kedah (RM12.1 bilion).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman menerangkan, Malaysia mempunyai jenama yang baik di persada antarabangsa dan merupakan sebuah negara yang diyakini para pelabur.
Terangnya, negara ini mempunyai asas yang kukuh dalam membuka peluang pelaburan dan perniagaan kepada para pelabur.
“Dengan iklim pelaburan yang menarik, negara bersedia menjadi hab ekonomi besar yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelabur. Malaysia menawarkan pelbagai ciri-ciri kompetitif untuk syarikat-syarikat tampil maju di pasaran antarabangsa melalui kedudukannya yang strategik di Selat Melaka, ekosistem industri yang komprehensif dikelilingi dengan kekayaan sumber asli serta populasi yang muda, berbakat dan berdaya saing.”
“Kerajaan sedang giat melaksanakan langkah-langkah yang agresif dalam menarik lebih banyak projek yang berkualiti tinggi, berimpak tinggi dan berintensifkan modal dalam sektor perkilangan serta perkhidmatan.
“Kerajaan akan terus memberikan tumpuan dalam ekonomi digital, tenaga dan aktiviti perkilangan bernilai tinggi seperti teknologi pengangkutan termasuk kenderaan elektrik dan ekosistemnya yang bakal menyumbang kepada potensi ekonomi yang ketara dan pembangunan jangka panjang yang mampan,” terang beliau.