KUALA LUMPUR – Memiliki, memuat naik sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak serta berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan di kediamannya di Klang , kelmarin.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, suspek ditahan melalui sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Katanya, ketika diperiksa kediaman suspek berusia 39 tahun itu, pihaknya menjumpai sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer milik suspek.
“Siasatan mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa (kanak-kanak) di samping memuat naik bahan pornografi kanak-kanak dengan menggunakan media sosial.
“Justeru, rampasan telah dilakukan ke atas komputer, external hard disk, router, dan telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorsiah berkata, kejayaan tangkapan ini hasil kerjasama erat PDRM dengan Federal Bureau Of Investigation (FBI).
“Ekoran tangkapan itu, suspek telah direman selama empat hari bermula semalam sehingga Sabtu ini.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Jelas Noorsiah, setakat ini siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa-mangsa yang terlibat di dalam kes ini. – KOSMO! ONLINE