fbpx

Kerajaan alukan penglibatan NGO berdepan bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan (tengah) ketika bercakap pada sidang akhbar di Markas Pasukan Smart di sini hari ini.

PUCHONG – Penglibatan sukarelawan dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) adalah amat dialu-alukan kerajaan terutamanya ketika negara sedang berhadapan dengan pelbagai bentuk bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, keterlibatan mereka melalui platform Rakan Nadma adalah amat bermakna termasuk dalam tempoh negara berhadapan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan.

“Kerajaan amat mengalu-alukan penglibatan badan sukarela dalam gerak kerja pengurusan bencana dan adalah menjadi hasrat agar kerjasama semua pihak dapat diselaraskan secara strategik untuk mencapai matlamat yang optimum.

“Fokus adalah untuk memastikan bantuan yang bertepatan dapat disalurkan kepada golongan sasar melalui mekanisme penyampaian yang teratur dan berkesan,” katanya pada satu sidang akhbar di Markas Pasukan Smart di sini hari ini.

Terdahulu, Armizan hadir dalam pertemuan khas bersama barisan pimpinan NGO, aktivis dan sukarelawan yang banyak membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam melaksanakan fungsi berhadapan dengan pelbagai bentuk bencana.

Menurut Armizan, Rakan Nadma yang dirintis sejak 2017 merupakan platform rangkaian kerjasama dalam menggembleng usaha ketika pengurusan bencana khususnya memberikan bantuan kepada golongan sasar yang terkesan.

“Setakat ini, sebanyak 147 buah badan sukarela telah mendaftar di bawah Rakan NADMA dan sesi perjumpaan hari ini diadakan dengan objektif untuk mengiktiraf pihak-pihak yang terlibat sekali gus menjadi pemangkin untuk mendapatkan syor dan pandangan mereka bagi
meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta ketahanan negara dalam pengurusan bencana.

“Selain itu, Nadma juga menggerakkan usaha penglibatan masyarakat melalui pendekatan Pengurusan Risiko Bencana Berorientasikan Komuniti (CBDRM) yang pada tahun ini telah melibatkan seramai 22,991 peserta dari pelbagai latar komuniti,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Armizan berkata, setakat semalam, seramai 12,097 mangsa banjir daripada 3,344 keluarga telah dipindahkan ke 162 pusat pemindahan sementara (PPS) di 11 negeri di seluruh negara sejak bermulanya MTL pada awal November lalu.

“Setakat 8 pagi tadi pula, seramai 2,513 mangsa melibatkan 762 keluarga masih berada di 20 PPS yang sedang beroperasi di lima buah negeri.

“Jumlah ini bagaimanapun dijangka meningkat apabila episod kedua Luruan Monsun MTL kali ini diramalkan berlaku bermula 17 hingga 21 Disember ini yang akan membawa fenomena hujan lebat, laut bergelora dan angin kencang secara berterusan,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI