fbpx

Keenakan nasi lemak kangkung sambal sotong jadi ‘igauan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NASI lemak kangkung sambal sotong merupakan menu signatur di restoran Tali Kafe.

SEBERANG Perai, Pulau Pinang sememangnya dikenali sebagai antara lokasi ‘syurga’ makanan buat mereka yang sering berkunjung ke kawasan tersebut.

Justeru, tidak hairanlah andai banyak warung, kafe, kedai makan dan restoran ‘tumbuh bak cendawan selepas hujan’ di situ dengan menawarkan pelbagai menu yang mampu membangkitkan selera orang ramai.

Salah satu lokasi yang menjadi perhatian dan mampu menggamit kehadiran pengunjung adalah restoran Tali Kafe di Jalan Bandar Putra Bertam.

Pemiliknya, Azirawaty Mohd. Noor, 48, berkata, biarpun restoran tersebut baru sahaja memulakan operasi beberapa bulan lalu, namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada pelanggan.

Katanya, Tali Kafe berkonsepkan restoran santai yang menggabungkan menu tradisional dan moden bagi menepati cita rasa semua golongan di negara ini.

“Antara menu pilihan pengunjung di sini adalah nasi lemak kangkung sambal sotong dan sotong kangkung sejiwa yang dijual pada harga berpatutan.

“Saya memilih kangkung kerana ia merupakan ulam atau sayur yang masih digemari ramai hingga hari ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

AZIRAWATY menunjukkan menu rojak tonggek royal yang ditawarkan di restoran Tali Kafe, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Azirawaty yang pernah mengusahakan spa kecantikan sebelum ini memberitahu, Tali Kafe turut menawarkan beberapa menu lain termasuk rojak tonggek royal, laksa Thai dan laksa idaman.

Turut tidak ketinggalan adalah dua lagi menu menarik iaitu set bawal goreng merindu dan set ayam goreng beradu.

Kesemua hidangan berkenaan dijual pada harga berpatutan.

“Semua menu ini termasuk sambal saya buat sendiri dengan menggunakan resipi atau ramuan tersendiri kecuali laksa yang dimasak oleh ibu,” ujar wanita berkaca mata itu.

Menurut ibu kepada dua orang anak itu, Tali Kafe dibuka pada setiap hari kecuali Ahad iaitu antara pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Restoran Tali Kafe menawarkan seleksi menu tradisional dan moden.

“Biasanya, ramai pelanggan datang ketika waktu tengah hari terutamanya golongan muda.

“Namun, ada juga pelanggan yang memilih untuk datang pada sebelah petang atau malam bergantung kepada kelapangan mereka,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan lain seperti durian crepe dan sebagainya.

Jelas Azirawaty, buat masa ini, dia ingin memberi tumpuan terhadap menu sedia ada di restoran berkenaan.

Ujarnya, menu-menu sedia ada ketika ini sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan hampir setiap hari.

“Kalau ada penambahan pun selepas ini mungkin saya akan tambah menu berasaskan udang atau ikan untuk nasi lemak.

“Namun, ia bergantung kepada permintaan dan kehendak semasa para pelanggan,” ujar wanita berkulit cerah itu sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI