fbpx

Faisal Halim mahu ‘cantas’ Arif, Daren pada ABK 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DARI kiri: Darren, Arif Aiman dan Faisal merupakan calon untuk anugerah kategori Penyerang Terbaik pada ABK 2022 yang berlangsung malam ini.

PEMAIN sayap sensasi skuad kebangsaan, Faisal Halim harap tuah memihak dirinya untuk ‘cantas’ dominasi tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) malam ini.

Faisal yang mewakili kelab Terengganu FC (TFC) bakal bersaing dengan Arif dan Darren Lok (PJ City FC) untuk kategori Penyerang Terbaik pada ABK22 kali ini.

Kata Faisal, jika berjaya terpilih sebagai pemenang, sudah tentu akan dikongsikan bersama penyokong yang menjadi kekuatan buatnya untuk tampil lebih cemerlang dengan skuad Penyu tahun ini.

“Ini kali kedua saya disenarai pendek dan harap ada rezeki kali ini, kerana saya mahu hadiahkan kepada penyokong Terengganu.

“Dua musim berada di sana, saya sentiasa mendapat kata-kata semangat dan diberikan doro­ngan daripada penyokong Terengganu, jadi ini sahaja cara untuk membalas sokongan mereka.

“Di atas kertas, saya sedar bukan mudah untuk menang kerana Arif dan Darren juga bukan sebarangan pemain kerana bermain dengan cukup baik pada musim ini.

“Sesiapa sahaja yang menang, saya akan tetap gembira kerana berada dalam kalangan tiga terbaik, tetap satu pengiktirafan terbesar,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Sementara itu, Darren turut gembira apabila disenarai pendek meskipun menjangka cabaran sengit khususnya daripada Arif yang merupakan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) tahun lalu.

“Tahun ini saya sangat gembira kerana dapat beraksi baik bersama PJ City, tetapi belum boleh berpuas hati dengan mahu meletakkan sasaran yang lebih tinggi pada musim depan.

“Saya rasa Arif Aiman dan Faisal juga berpeluang cerah memenangi anugerah ini kerana mereka telah memainkan pe­ranan masing-masing, malah kedua-duanya sangat berbakat besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI