fbpx

Dua lelaki ‘kantoi’ buat laporan palsu disamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LANGAT – Helah dua lelaki membuat laporan polis palsu kononnya disamun penjenayah bermotosikal memakan diri apabila dicekup polis sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Kedua-dua lelaki tempatan berusia 36 dan 27 tahun itu yang ditahan 8 Disember dan kelmarin bertindak sedemikian hanya kerana mahu mengelak membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kes pertama melibatkan seorang pemandu lori mendakwa disamun dua lelaki bermotosikal bersenjatakan parang di hadapan kedai makan di Jalan Bunga Pekan 2, Banting, di sini.

Katanya, barangan yang disamun antaranya dokumen pengenalan diri, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

“Kes terbaharu pula melibatkan seorang operator kilang yang turut mendakwa beg mengandungi dokumen pengenalan diri di samun di lampu isyarat Bandar Mahkota Banting .

“Hasil siasatan polis bagaimanapun mendapati kedua-duanya itu membuat laporan polis palsu.

“Mereka kemudiannya diberkas bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahmad Ridhwan, setakat ini pihaknya sudah menerima lima laporan palsu berkaitan kes samun pada tahun ini.

“Siasatan lanjut polis mendapati bahawa kejadian samun yang dilaporkan pengadu sebenarnya tidak berlaku.

“Faktor utama laporan itu dibuat bertujuan mengelak diri dikenakan denda oleh JPN kerana kehilangan kad pengenalan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Ridhwan menasihatkan orang ramai tidak sewenangnya membuat laporan palsu demi kepentingan diri dan turut menganggu polis menjalankan siasatan terhadap kes lain. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI